VIDEO – [Durasi 14m 06s] -Surah No 89 – Al-Fajr – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/NNzENXueQp0 ]
سورة الفجر
بسم الله الرحمن الرحيم
وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2) وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ (3) وَاللَّيْلِ إِذَا يَسْرِ (4) هَلْ فِي ذَلِكَ قَسَمٌ لِذِي حِجْرٍ (5) أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (6) إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ (7) الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ (8) وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ (9) وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ (10) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ (11) فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (12) فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ (13) إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ (14) فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ (15) وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ (16) كَلَّا بَلْ لَا تُكْرِمُونَ الْيَتِيمَ (17) وَلَا تَحَاضُّونَ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ (18) وَتَأْكُلُونَ التُّرَاثَ أَكْلًا لَمًّا (19) وَتُحِبُّونَ الْمَالَ حُبًّا جَمًّا (20) كَلَّا إِذَا دُكَّتِ الْأَرْضُ دَكًّا دَكًّا (21) وَجَاءَ رَبُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا (22) وَجِيءَ يَوْمَئِذٍ بِجَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الْإِنْسَانُ وَأَنَّى لَهُ الذِّكْرَى (23) يَقُولُ يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِي (24) فَيَوْمَئِذٍ لَا يُعَذِّبُ عَذَابَهُ أَحَدٌ (25) وَلَا يُوثِقُ وَثَاقَهُ أَحَدٌ (26) يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27) ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً (28) فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (29) وَادْخُلِي جَنَّتِي (30)
TERJEMAHAN SURAH AL-FAJR
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.
(1) Demi waktu fajar;
(2) Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);
(3) Dan bilangan yang genap serta yang ganjil;
(4) Dan malam, apabila ia berlalu; –
(5) Bukankah yang demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna?
(6) (Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka)
(7) Iaitu penduduk “Iram” yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya)
(8) Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?
(9) Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)?
(10) Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh?
(11) (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing).
(12) Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.
(13) Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;
(14) Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat)
(15) (Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!”
(16) Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”
(17) Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya);
(18) Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin;
(19) Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya),
(20) Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!
(21) Jangan sekali-kali bersikap demikian! (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya,
(22) Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah),
(23) Serta diperlihatkan neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya?
(24) Ia akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!”
(25) Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah.
(26) Dan tiada sesiapapun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belengguNya.
(27) (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! –
(28) “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! –
(29) “Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia –
(30) “Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! ”
[ Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin ada sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ]
===================================================
EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI)
===================================================
1. Allah mengingatkan kita supaya jangan sibuk dengan perkara-perkara dunia sehingga mencuaikan akhirat.
2. Allah mendedahkan kelemahan-kelemahan “dunia”; Allah yang menciptakan dunia dan Dia sendiri beritahu kelemahan-kelemahannya.
3. Allah beritahu tempat-tempat di atas mukabumi dan dan waktu-waktu yang perlu direbut untuk mendapat kebaikan di akhirat.
4. Janganlah perkara-perkara dunia mencuaikan kamu dari (mengambil manfaat dari) tempat-tempat dan masa-masa yang dikhaskan untuk akhirat.
5. Waktu-waktu tersebut adalah seperti waktu sembahyang, waktu haji, puasa dan sebagainya. Di antara waktu-waktu ini ada waktu yang terbaik dalam setahun. Oleh itu, janganlah kerana (mengejar atau menggunakan) dunia menyebabkan kamu terlepas (dari memanfaatkan waktu-waktu tersebut).
6. Apabila kamu terlepas (dari memanfaatkan waktu-waktu tersebut), bermakna kamu lebih mengutamakan dunia berbanding akhirat.
7. Allah menjelaskan tentang “dunia” dalam Surah al- Fajr ini.
8. “Demi waktu fajar”
9. Waktu fajar adalah waktu sembahyang.
10. Menurut tafsiran pertama, yang dimaksudkan dengan “fajar” ialah fajar pada 10 Zulhijjah (hari raya haji), iaitu waktu paling makbul (diterima doa) dalam setahun.
11. Manakala, tafsiran kedua ialah waktu fajar setiap hari.
12. Gunakanlah waktu fajar ini untuk berdoa kepada Allah.
13. “Dan sepuluh malam”, dalam tafsiran pertama bermaksud sepuluh malam Zulhijjah, waktu yang paling afdhal untuk berdoa. Menurut tafsiran kedua, sepuluh malam akhir Ramadhan yang manusia sepatutnya menggunakan sepenuhnya untuk merebut peluang dalam setahun.
14. Dan (jagalah) solat yang genap dan solat yang ganjil iaitu sembahyang fardhu dan sunat yang genap dan ganjil (maghrib dan witir) rakaatnya.
15. Sekiranya kita dapat jaga (memanfaatkan) waktu-waktu ini, kita dikira tidak mengutamakan dunia berbanding akhirat.
16. “Dan malam, apabila telah berlalu masanya sehingga dekat waktu subuh, (iaitu waktu sahur)” adalah waktu untuk berdoa.
17. Jika kita dapat menggunakan waktu-waktu ini sebaik-baiknya, maka kita dikira tidak mengutamakan dunia berbanding akhirat.
18. Sesungguhnya “sumpahan” (qasm) dalam ayat tadi memberi peringatan kepada setiap orang yang beraqal, supaya merebut peluang yang diberi oleh Allah taala pada hari-hari dan bulan-bulan tertentu untuk memenuhkan tuntutan akhirat.
19. Golongan-golongan yang tidak sempat menggunakan dunia ini untuk akhirat, sebaliknya mereka habiskan masa semata-mata untuk dunia
20. “Tidakkah kamu tengok bagaimana yang Allah lakukan kepada kaum Aad?”
21. Kaum Aad, adalah penduduk di Iraq, yang terkenal dengan bangunan-bangunan yang tinggi dan tubuh badan yang besar.
22. “Di mana tidak ada sebesar dan sekukuh (bangunan dan tubuh) mereka pada zaman itu”
23. Orang lain tidak sebesar tubuh mereka dan bandar dan bangunan lain tidak sehebat mereka.
24. Begitu juga kaum Tsamud yang memiliki kebolehan dan kemewahan tetapi tidak menggunakan peluang dalam kehidupan mereka untuk akhirat.
25. “Yang mampu untuk memahat batu-batu pejal untuk membuat rumah di daerah mereka”.
26. “Dan kepada Fira’un yang memiliki tali-tali yang mengikat khemah (kerana ramainya tentera). Tali “autad”, dalam tafsiran pertama, bermaksud tali yang mengikat empat penjuru khemah, yang menggambarkan ramainya tentera Fir’aun.
27. Terjemahan kedua untuk “autad” ialah tali yang diiikat pada kaki dan tangan rakyat yang derhaka kepada Fir’aun dan dibiarkan sehingga mati.
28. “Yang berlaku zalim di muka bumi”.
29. “Mereka banyak melakukan kerosakan di muka bumi”.
30. “Lalu Rabb kamu timpakan kepada mereka pukulan azab”.
31. “Sesungguhnya Rabbmu sentiasa mengawasi hambaNya untuk diberi balasan”.
32. Mengapakah berlaku begini? Ini adalah kerana mereka lebih memikirkan dunia dari akhirat. Mereka tidak berusaha untuk faham hakikat akhirat
33. Mereka hanya berpandukan kepada pengalaman-pengalaman dalam kehidupan dunia.
34. Orang-orang seperti ini, bila diuji oleh Allah dengan kenikmatan dunia, menyebabkan mereka nampak mulia (di segi zahirnya).
35. Lalu dia berkata, “Rabb aku telah memuliakan aku”. Dia kaitkan mulia atau hinanya di sisi Allah berdasarkan kurniaan duniawi yang dimilikinya.
36. “Bila Allah ujinya dengan kesempitan rezeki, dia akan berkata, “Rabb aku telah menghinakan aku”.
37. Ukuran mulia atau hinanya mereka adalah berdasarkan apa yang dimiliki dari perkara-perkara duniawi; untuk muliakan aku, Allah bagi benda dunia, untuk menghina aku, Allah kurangkan harta dunia.
38. “Sesungguhnya itu tidak benar”. Bukanlah kemuliaan atau kehinaan seseorang berdasarkan perkara-perkara zahir.
39. Sesungguhnya mereka mulia kerana perkara lain, iaitu dengan menurut syariat.
40. Bahkan mereka mulia atau hina dengan sebab lain (bukan kerana banyak atau kurangnya dunia)
41. “Kamu tidak memuliakan anak yatim”
42. Maksudnya, tamaknya kamu kepada dunia, menyebabkan bukan sahaja mengabaikan harta anak yatim malah kamu makan harta anak yatim.
43. Sesungguhnya harta halal dan harta haram adalah banyak, tetapi kamu pilih yang haram, malah yang lebih haram (iaitu harta anak yatim).
44. Kamu tidak memuliakan anak yatim, sedangkan kamu mulia dengan sebab memuliakan anak yatim.
45. Ini adalah kerana memberi makan kepada fakir miskin adalah satu kemuliaan.
46. Mendorong supaya orang kaya memberi makan kepada orang miskin juga adalah satu kemuliaan.
47. “Kamu memakan harta-harta waris dengan cara mencampurkan harta kamu (yang halal) dengan harta mereka”
48. Kamu cinta kepada harta dengan kecintaan yang berlebihan
49. Allah tidak melarang manusia sayang kepada harta. Tetapi Allah tidak suka kepada kasih yang berlebihan kepada harta, “hubban jamma” (tamak haloba)
50. Maksudnya, harta kamu yang halal adalah baik, tetapi harta haram yang kamu ambil (hubban jamma) adalah ditegah.
51. “Tidak begitu”; kemuliaan yang ada pada kamu adalah dalam menurut syariat.
52. Iaitu menggunakan harta kamu untuk orang lain, bukannya mengambil harta orang lain (yang bukan milik mu).
53. “Apabila digoncangkan bumi dengan sekuat-kuatnya, “datang”nya Rabb kamu di padang Mahsyar dan malaikat berbaris-baris.
54. Ini adalah gambaran di akhirat (yang tidak mungkin kita boleh bayangkan).
55. “Dan akan diperlihatkan neraka jahannam pada hari itu”.
56. Pada hari itu akan dipertontonkan kepada ahli neraka, tempat mereka di neraka.
57. “Maka pada hari ini, semua manusia akan ingat kecuaian-kecuaian mereka semasa hidup di dunia”. Sebelum daripada ini mereka tidak ingat dan tidak tahu
58. “Apa guna penyesalan pada hari ini?”.
59. Tidak mungkin lagi dapat diperbetulkan kesilapan dan kelalaiannya.
60. “Alangkah bertuahnya, kalau dahulu aku hantar hantar amalan-amalan untuk kehidupan akhiratku ini”. Semuanya itu adalah penyesalan.
61. “Pada hari itu tidak ada siksaan yang seumpama azab Allah”. Tidak ada sesiapa yang dapat menyiksa sebagaimana siksaan Allah pada hambaNya yang derhaka
62. “Dan tidak akan terlepas seseorang itu dari ikatan Allah”.
63. “Wahai manusia yang memiliki jiwa yang tenang (dalam taat)”.
64. “Kembalilah kamu kepada Rabb kamu, dalam keadaan kamu berpuas hati (dalam taat kepada Allah)”.
65. Dan kamu juga diredhai oleh Allah taala kerana menjadi hamba Allah yang taat.
66. Kamu berpuashati (dalam mentaati Allah) dan sebagai balasannya kamu diredhai oleh Allah.
67. “Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba Ku yang taat”.
68. Apabila sudah masuk ke dalam golongan hamba yang taat, maka,
69. “Silalah masuk syurga”.
70. Semoga Allah taala pilih kita (termasuk dalam golongan ini)
