VIDEO – [Durasi 12m 50s] -Surah No 90 – Al-Balad – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/Kdqf8V4dwDw ]
سورة البلد
بسم الله الرحمن الرحيم
لَا أُقْسِمُ بِهَذَا الْبَلَدِ (1) وَأَنْتَ حِلٌّ بِهَذَا الْبَلَدِ (2) وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ (3) لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي كَبَدٍ (4) أَيَحْسَبُ أَنْ لَنْ يَقْدِرَ عَلَيْهِ أَحَدٌ (5) يَقُولُ أَهْلَكْتُ مَالًا لُبَدًا (6) أَيَحْسَبُ أَنْ لَمْ يَرَهُ أَحَدٌ (7) أَلَمْ نَجْعَلْ لَهُ عَيْنَيْنِ (8) وَلِسَانًا وَشَفَتَيْنِ (9) وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ (10) فَلَا اقْتَحَمَ الْعَقَبَةَ (11) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْعَقَبَةُ (12) فَكُّ رَقَبَةٍ (13) أَوْ إِطْعَامٌ فِي يَوْمٍ ذِي مَسْغَبَةٍ (14) يَتِيمًا ذَا مَقْرَبَةٍ (15) أَوْ مِسْكِينًا ذَا مَتْرَبَةٍ (16) ثُمَّ كَانَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ وَتَوَاصَوْا بِالْمَرْحَمَةِ (17) أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ (18) وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا هُمْ أَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ (19) عَلَيْهِمْ نَارٌ مُؤْصَدَةٌ (20)
TERJEMAHAN SURAH AL-BALAD
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.
(1) Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;
(2) Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas),
(3) Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang dilahirkannya;
(4) Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);
(5) Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)?
(6) Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: “Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa).
(7) Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?
(8) (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) –
(9) Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?
(10) Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?
(11) Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan;
(12) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?
(13) (Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi;
(14) Atau memberi makan pada hari kelaparan –
(15) Kepada anak yatim dari kaum kerabat,
(16) Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.
(17) Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.
(18) (Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).
(19) Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. –
(20) Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).
[ Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin ada sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ]
===============================================
EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI)
===============================================
1. Manusia yang tidak menginfaqkan harta dunianya untuk perkara-perkara yang memberikan kemuliaan kepadanya (agama) akan menggunakan juga hartanya kepada perkara-perkara yang merosakkan agamanya
2. “Aku bersumpah dengan negeri Mekah ini, yang ramai orang menderita kerananya”. (Kerana kemuliaan yang ada pada Mekah ini, ramai orang menderita)
3. “Dan kamu (Muhammad) yang berada di negeri Mekah ini”.
4. Allah bersumpah dengan negeri Mekah, kerana ramai manusia yang menderita (kerana untuk berbakti kepada Allah taala) di bumi ini.
5. Nabi Ibrahim menderita, Nabi Muhammad juga menderita dan sesungguhnya penderitaan nabi Muhammad tidak dapat ditandingi oleh nabi-nabi lain.
6. Di sini Allah bersumpah dengan tempat (Mekah) tapi yang dimaksudkan ialah orang yang tinggal di tempat itu, iaitu nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad s.a.w
7. “Dan penderitaan seorang bapa dan seorang anak; bila dia mendidik anak untuk membesar”
8. Semua orang menderita, tidak kira samada ianya seorang nabi, seorang ayah atau seorang anak. Adalah satu penderitaan untuk seorang ayah membesarkan anaknya. Seorang anak untuk membesar seperti ayahnya juga satu penderitaan.
9. “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia (sentiasa) dalam keadaan susah payah”. Manusia ini diciptakan oleh Allah taala untuk duduk dalam keadaan susah payah.
10. “Apakah dia menyangka tiada kuasa yang boleh menguasainya (mengalahkannya)?”
11. “Dia berkata aku telah membelanjakan harta dengan amat banyak (yang sebenarnya dibelanjakan ke jalan yang batil)”. Dia berkata dengan bangganya, aku telah membelanjakan amat banyak harta ( dengan tujuan yang batil, untuk bermegah-megah )
12. Orang kafir Mekah, berbangga sesama sendiri kerana mengorbankan harta yang banyak (tetapi sebenarnya untuk perkara-perkara yang batil).
13. Sesiapa yang tidak dipandu dengan wahyu, akan menghabiskan hartanya ke jalan yang batil dan berbangga dengan perbuatan itu.
14. “Apakah dia menyangka tiada siapa yang melihatnya?”
15. “Tidakkah Kami yang menjadikan dua matanya, lidahnya dan dua bibirnya?”. Maksudnya, Allahlah yang memberikan kemudahan dan keupayaan yang ada padanya
16. “Dan Kami berikan kepadanya dua jalan”, iaitu jalan baik (untuk diikuti) dan jalan buruk (untuk dijauhi)
17. Sesuatu “kesusahan” samada akan menatijahkan pulangan yang baik atau akan menyebabkan mereka menderita
18. Tetapi dia tidak menempuhi kesusahan yang “sebenar” (kesusahan yang elok untuk dihadapi)
19. Apakah itu kesusahan “sebenar”?
20. Kesusahan sebenar ialah kesusahan yang manusia patut hadapi kerana ianya memberi pulangan yang baik, kerana kesusahan ini adalah yang dituntut dalam agama
21. “Kesusahan” tersebut ialah memerdekakan hamba atau memberi makan pada hari yang sangat-sangat lapar.
22. Juga memberi makan kepada anak yatim di kalangan kaum kerabat. Disebut kaum kerabat, kerana yang tahu keadaan sebenar anak yatim tersebut adalah kaum kerabatnya. Apabila kaum kerabat mencuaikannya, maka terabailah anak yatim tersebut. Jika di luar lingkungan kaum kerabatnya, anak yatim ini dianggap sebagai orang asing. Oleh itu, orang yang paling berhak menjaga anak yatim ialah kaum kerabatnya.
23. Juga memberi makan kepada orang miskin yang tidak mempunyai harta.
24. Kemudiannya, orang yang betul-betul beriman, yang sentiasa saling berpesan (semasa di dunia) supaya sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah
25. Di dalam dunia ini kita bersabar semoga selepas mati kita dapat ganjarannya daripada Allah
26. Hendaklah saling berpesan. Dalam Islam disyariatkan mengucapkan “takziah” semasa seseorang ditimpa musibah, untuk membantunya bersabar, dengan ucapan menggembirakan seperti, “Semoga diberi pahala yang banyak oleh Allah”. Tujuannya supaya dia tidak terlepas dari peluang untuk mendapat pahala
27. Seseorang di masa ini berhajat kepada bantuan supaya dia tidak terluput (terlepas peluang untuk mendapatkan) pahala
28.Kadang-kadang tanpa ucapan takziah seperti yang disyariatkan, manusia boleh jadi kufur kerana terlalu kecewa.
29. Hendaklah saling bertakziah kerana ada ketikanya kita juga menghadapi peristiwa kesedihan yang sama. Saling bertakziah supaya manusia sentiasa memperolehi pahala, sentiasa selamat dari gangguan dan bisikan syaitan. Orang beriman sudah pasti akan diuji dan apabila diuji hendaklah bersabar. Sikap sabar ini kadang-kadang perlukan bantuan, iaitu “takziah”
30. “Takziah” adalah permintaan kepada saudara kita yang diuji supaya bersabar dengan diberi berita gembira akan mendapat pahala.
31. Takziah, bukan sekadar ucapan kerana kalau hanya ucapan ianya tidak memberi apa-apa makna. Sebenarnya, takziah ialah suatu ucapan yang memberi dorongan dan berita gembira menyebabkan orang yang ditimpa musibah dapat pahala
32. Ini adalah giliran dia ditimpa musibah; dan dia hendaklah menyebut “Innalillahiwainnailaihiraaji’un” (dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali). Dunia ini akan luput (dan hilang), oleh itu dengan menyebut “Innalillahiwainnailaihiraaji’un” musibah akan terasa ringan
33. Allah mengucapkan syabas kepada mereka yang boleh ucap “Innalillahiwainnailaihiraaji’un” bila ditimpa musibah dan berdoa kepada Allah supaya digantikan dengan yang lebih baik. Allah yang uji kita dengan musibah ini, dan Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Dan orang lain membantunya dengan doa supaya Allah bagi kepadanya ketabahan; supaya dia bersabar dan jadi hamba yang berjaya
34. Musibah ini digilir-gilirkan antara manusia. Saling memberi ucapan takziah ialah supaya orang beriman berjaya, sokong menyokong di di dalam kesabaran
35. Dalam surah al-‘Ankabut, ayat bermaksud, “Apakah orang yang beriman, sekiranya dia betul-betul beriman, tidak diuji?” Bila diuji, dia hendaklah bersabar.
36. Semakin rapat seseorang itu dengan Allah, semakin banyak ujian terhadapnya, menyebabkan semakin perlu dia bersabar
37. “Hendaklah mereka saling berpesan supaya bersabar”
38. “Dan saling berpesan supaya ada kasih sayang” kerana jika tiada kasih sayang, (dalam sesuatu masyarakat) akan berpecah belah, umpat mengumpat, dengki mendengki menyebabkan rosak binasa segala amalan.
39. Kasih sayang adalah salah satu jalan untuk mengelakkan (sesuatu masyarakat) dari berpecah belah. Berpecah belah adalah perangkap syaitan untuk merosakkan amalan seseorang manusia
40. Berpesan dengan kasih sayang menyebabkan bila musibah menimpa seseorang, ada yang membantu dan berkongsi kesedihan dan simpati supaya dia tidak berasa keseorangan
41. Contoh yang paling baik, ada pada sahabat-sahabat nabi. Dalam masyarakat terdahulu, hanya ada segelintir orang soleh, tetapi sahabat-sahabat nabi adalah satu kelompok orang soleh yang besar dan berjaya
42. Di dalam kehidupan sahabat-sababat nabi jika ada seseorang yang sakit, ada yang bantu, jika seorang lain ditimpa musibah, yang lain pula memberi bantuan
43. Kehidupan sahabat nabi adalah kehidupan yang cukup sempurna, dari peringkat pemerintah sehingga rakyat jelata. Contoh sebegini hampir tidak ada selain dari kelompok sahabat nabi. Untuk mentafsirkan ayat-ayat sepert ini ialah kehidupan sahabat-sahabat nabi
44. Orang-orang yang bersikap demikian ialah “orang-orang kanan”, sebaliknya orang-orang yang ingkar, ialah golongan “kiri”, dan untuk golongan kiri ini ialah api neraka yang ditutup rapat di sekelilingnya.
45. Di dalam al-Quran disebut, di atas panas dan di bawah panas; iaitu ditutup di semua bahagian yang menyebabkan ianya panas keseluruhannya. Contoh di zaman kita ada sejenis periuk yang cepat masak kerana kepanasan yang cukup dalam masa yang singkat.
46. Semoga Allah lindungi kita (dari azab ini)
