Tafsir Al-Quran – Maulana Abd Hadi Yaakub – Surah No 57 – al-Hadiid (Ayat 22 – 29)

VIDEO – Tafsir al-Quran (Ringkas) – Surah No 57-al-Hadiid (Ayat 22-29)- [Dgn Sarikata]- Maulana Abd Hadi

 

سورة الحديد

بسم الله الرحمن الرحيم

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ (22) لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ (23) الَّذِينَ يَبْخَلُونَ وَيَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبُخْلِ وَمَنْ يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ (24) لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ وَأَنْزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ (25) وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا وَإِبْرَاهِيمَ وَجَعَلْنَا فِي ذُرِّيَّتِهِمَا النُّبُوَّةَ وَالْكِتَابَ فَمِنْهُمْ مُهْتَدٍ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (26) ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَى آثَارِهِمْ بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآتَيْنَاهُ الْإِنْجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلَّا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا فَآتَيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ (27) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَآمِنُوا بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيَجْعَلْ لَكُمْ نُورًا تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (28) لِئَلَّا يَعْلَمَ أَهْلُ الْكِتَابِ أَلَّا يَقْدِرُونَ عَلَى شَيْءٍ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَأَنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ (29)

 

TERJEMAHAN SURAH AL-HADIID  (AYAT 22 – 29)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(22) Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

(23) (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

(24) Orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil, (akan mendapat balasan yang menghina); dan sesiapa yang berpaling (dari mematuhi hukum Allah maka padahnya tertimpa atas dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

(25) Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

(26) Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim, dan Kami jadikan pada keturunan keduanya orang-orang yang berpangkat Nabi dan menerima Kitab-kitab agama; maka sebahagian di antara mereka: orang yang beroleh hidayah petunjuk, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik – derhaka

(27) Kemudian Kami iringi sesudah – mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan mereka beribadat secara) “Rahbaniyyah” – merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik – derhaka

28) Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(29) (Ditetapkan pemberian yang demikian kepada kamu) supaya golongan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani – yang menentang Islam) mengetahui, bahawa sesungguhnya mereka tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendapat (atau menyekat) sesuatu dari limpah kurnia Allah, dan bahawa sesungguhnya limpah kurnia itu terletak dalam kekuasaan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mempunyai limpah kurnia yang besar.

[Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin terdapat sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ]

 

===================================================

EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI) ===================================================

1.  Bahagian berikut surah ini adalah berkenaan infaq di jalan Allah.

2. Allah memberitahu dalam ayat 22, bahawa ada manusia yang bimbang ditimpa musibah kerana berkurangnya harta jika berinfaq. Allah menjelaskan bahawa musibah adalah takdir yang ditetapkan Allah taala. Seseorang yang melakukan infaq, Allah tidak akan hukum mereka dengan musibah, sebaliknya Allah akan adakan ‘ujian’ dengan amalan infaq mereka supaya mereka lebih yakin dengan janji Allah.

3. “Tidak menimpa ke atas manusia apa-apa musibah, baik di muka bumi (musibah luaran, tidak kena kepada diri mereka) dan tidak mereka ditimpa (musibah dalaman) pada diri mereka, melainkan semua itu ada dalam Kitab (pengetahuan Allah), sebelum Allah taala ciptakan musibah itu”; sebelum Allah zahirkan musibah itu. Ini bermaksud, semua musibah yang kamu takuti itu adalah dalam takdir Allah taala.

4. Jika Allah taala sudah tetapkan sesuatu dalam takdir, ianya pasti akan berlaku. Semua perkara yang berlaku tidak akan tersasar dari takdir.

5. Mereka yang berjaya menunaikan tuntutan wahyu dengan berinfaq, Allah taala tidak akan hampakan mereka dan tidak akan hukum mereka dengan musibah.

6. “Mengadakan ujian ke atas manusia (dengan musibah luaran dan musibah dalaman) bagi Allah taala adalah sangat mudah”.

7. Allah jadikan musibah itu sebagai takdir, supaya kamu mendapat dua keuntungan, iaitu, kamu tidak sombong dengan apa-apa kelebihan yang diperolehi (kerana ianya adalah dari takdir) dan kamu tidak akan berputus asa (kecewa) apabila apa-apa nikmat terlepas dari kamu (kerana ianya juga adalah dari takdir).

8. Hikmah Allah adakan musibah dan menyatakan ianya adalah dari takdir adalah supaya tidak ada sifat putus asa di dalam diri manusia.

9. Allah boleh buat apa sahaja yang dikehendakiNya kepada makhlukNya.

10. Ianya juga untuk mengelakkan perasaan sombong di atas nikmat yang diperolehi kerana nikmat itu pun adalah dari takdir Allah.

11. Hikmat bahawa segala-galanya adalah dari takdir ialah, “Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu”, seperti hilangnya kesihatan, harta dan lain-lain.

12. “Dan tidak kamu sombong dan berbangga dengan apa yang Allah berikan kepada kamu”, samada di segi kesihatan, harta dan lain-lain pemberian.

13. Semoga kamu takut kepada Allah dan sentiasa mengharapkan rahmatNya.

14. “Dan Allah tidak suka seseorang sombong (kerana kelebihan “dalaman”nya dan kelebihan “luaran”nya)”. Allah tidak suka kepada orang yang sombong yang berbangga dengan kebolehan dan kelebihan “dalaman” dan “luaran”. Kebolehan dan kelebihan “dalaman” ialah yang bukan datangnya dari ikhtiar manusia iaitu apa yang Allah kurniakan tanpa usaha. Manakala kebolehan dan kelebihan “luaran” adalah hasil dari ikhtiar seseorang.

15. Punca sikap sombong ialah manusia tidak tahu bahawa kelebihan-kelebihan adalah dari takdir dan merupakan ujian dari Allah. Dia tidak tahu pemberian tersebut adalah dari takdir sebagai ujian kepadanya.

16. Tuntutan infaq adalah supaya manusia mengetahui bahawa amalan mereka disukai oleh Allah taala.

17. “Orang yang bakhil (kerana cinta dunia) dan menyeru orang lain supaya bakhil”. Sebagaimana ayat-ayat al-Quran yang lain, “bakhil” adalah bermaksud bakhil untuk agama. Ada manusia yang bakhil untuk berinfaq kepada agama, dan dia menyeru orang lain supaya turut bakhil.

18. Sifat bakhil ini wujud adalah kerana mereka tidak tahu bahawa harta yang diberikan adalah ujian dari Allah; semua yang diberi atau yang ditarik oleh Allah adalah merupakan takdir dari Allah.

19. “Dan sesiapa yang berpaling (dari mematuhi perintah infaq) sesungguhnya Allah Maha Kaya (serba cukup)”.

20. Infaq yang diperintahkan oleh Allah adalah semata-mata untuk kebaikan hambaNya.

21. “Dan Maha Terpuji”

22. Infaq yang disebut adalah berkenaan infaq di atas jalan Allah; bagi menegakkan agama Allah atau untuk memenuhi tuntutan agama. Bahagian kedua surah ini adalah berkenaan jihad.

23. Setiap hamba disyariatkan supaya berusaha supaya agama ini dizahirkan; tertegak dalam dirinya sendiri dan juga dihayati oleh orang lain.

24. “Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan diberi kepada mereka bukti-bukti mukjizat dan bukti-bukti wahyu”

25. “Dan Kami telah turunkan kepada mereka kitab, yakni mizan (neraca)”. Dengan tujuan, “Supaya semua manusia dapat hidup dengan adil” 26. “Dan Kami telah ciptakan (anugerahkan) besi. Pada besi itu ada suatu kekuatan yang sangat hebat”. Besi dapat dimanfaatkan bila manusia mencipta peralatan untuk kegunaan manusia.

26. Besi adalah amat berguna untuk para mujahidin.

27. “Besi juga ada faedah-faedah lain (selain dari faedah sifatnya yang kuat)”.

28. Hikmah diciptakan besi ialah, “Supaya Allah taala dapat zahirkan (melalui perantaraan besi) siapa yang membantu agama Allah dan Rasul-rasul (yang diutuskan untuk menyampaikan wahyu Allah)”. Manusia menggunakan dan memanfaatkan besi untuk membantu agama Allah.

29. Walaupun jika tidak diberi besi kepada manusia, “Sesungguhnya Allah taala adalah Maha Kuat (untuk menegakkan agamaNya) dengan kudratNya”. Tetapi untuk kebaikan hambaNya, maka diciptakan besi. Dengan menggunakan besi, mereka menegakkan agama Allah dan membantu pesuruh Allah.

30. “Allah Maha Kuat dan Maha Berkuasa” adalah bermaksud Allah tidak berhajat kepada apa yang diciptakanNya.

31. Apa yang diciptakan oleh Allah adalah untuk manfaat hambaNya.

32. Sebelum ini Allah menyebut ungkapan “rasul-rasul” secara umum, tetapi dalam ayat-ayat selepas ini, Allah menyebut dengan khusus nama Rasul-rasul tersebut.

33. “Dan sesungguhnya Kami mengutus Nuh sebagai Rasul, dan juga Ibrahim”. Nabi Nuh dan Ibrahim adalah dua dari lima rasul “ulul azmi” selain dari Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad.

34. “Dan Kamilah yang menjadikan zuriat mereka berdua (Nabi Nuh dan Ibrahim), nabi-nabi. (Dan kami beri kepada zuriat mereka berdua), kitab-kitab wahyu”. Ada dari zuriat mereka berdua yang dipilih jadi nabi dan diberi kitab wahyu.

35. Umat Nabi Nuh dan umat Nabi Ibrahim terbahagi kepada dua, “Ada di antara mereka yang terpimpin (yang bersedia untuk mengikuti nabi-nabi, dan mereka ini tidak ramai), dan ramai dari mereka itu adalah ingkar (kafir)”.

36. Yang tersebut di dalam ayat tadi adalah zuriat dari Nabi Ibrahim dan nabi Nuh. “Kemudian, Kami iringkan selepas mereka dengan nabi-nabi lain”.

37. “Dan Kami iringi lagi nabi-nabi tersebut dengan nabi Isa bin Maryam. Dan Kami berikan kepadanya Injil”, sebagai penyempurnaan kepada kitab Taurah yang diturunkan kepada Nabi Musa sebelumnya.

38. Allah beritahu sifat-sifat pengikut nabi terdahulu, “Dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya (nabi Isa) perasaan belas kasihan (sesama sendiri)”.

39. Tetapi ada amalan yang mereka ada-adakan iaitu sikap meninggalkan dunia (rahbaniyyah – menolak keduniaan, terutamanya meninggalkan perkahwinan) dan menumpukan ibadat hanya pada Allah (samada dari kalangan lelaki atau wanita).

40. “Rahbaniyyah” bermaksud menolak perkahwinan dan menolak ikhtiar untuk mengumpulkan harta kerana pada pendapat mereka masa untuk Allah taala akan berkurang jika ianya digunakan untuk keluarga dan mencari harta.

41. “Ajaran ini (Rahbaniyyah) adalah yang mereka ada-adakan. Dan Kami tidak mensyariatkannya kepada mereka; (mereka berbuat demikian) dengan niat mencari keredhaaan Allah”.

42. Mereka amalkan kehidupan “rahbaniyyah” (tidak berkahwin dan tidak bekerja) kerana mencari redha Allah dengan memberi tumpuan penuh kepada beribadat kepada Allah. Mereka tidak ingin disibukkan dengan keluarga dan mencari harta.

43. “Mereka tidak dapat menjaga apa yang sepatutnya untuk mendapat redha Allah”. Mereka gagal menjaga apa yang sepatutnya dijaga.

44. “Kami berikan kepada pengikut-pengikut (dari kalangan Nasara) yang beriman (kepada Nabi Muhammad), pahala, tetapi ramai daripada golongan (Nasara) ini fasiq (kafir)”.

45. Allah memberitahu hal ini kepada umat akhir zaman. Oleh kerana agama Islam adalah untuk semua manusia samada ahli kitab dan juga mereka yang tidak mempunyai kitab, Allah perintahkan kita untuk berjuang menegakkan agama dengan syariat akhir zaman.

46. Agama memerintahkan berperang bila perlu.

47. “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhamad)”. Wahai orang yang beriman dengan nabi Musa, wahai orang yang beriman dengan nabi Isa dan yang beriman dengan kitab-kitab terdahulu, bertaqwalah kamu kepada Allah. Dan hendaklah kamu beriman dengan nabi Muhammad, nabi akhir zaman.

48. Apabila kamu dapat melakukan hal ini, “Nescaya Allah taala akan beri kepada kamu dua kali ganda daripada rahmatNya”. Ini adalah kerana dahulunya kamu beriman dengan nabi kamu dan kamu patuh kepadanya dan kemudiannya kamu beriman dengan nabi akhir zaman.

49. Allah berjanji, “Allah akan beri kepada kamu cahaya yang kamu boleh berjalan dengannya (di atas titian sirat)”. Peristiwa ini akan berlaku di hari akhirat. “Dan Allah akan mengampunkan dosa kamu”.

50. “Dan Allah taala Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”.

51. Di antara sebab utama mengapa mereka tidak ingin mengikut nabi Muhammad ialah kerana adanya keutamaan-keutamaan pada nabi akhir zaman. Sedangkan mereka (Yahudi) merasa mereka adalah lebih mulia dari nabi akhir zaman. Oleh kerana itu mereka memuja nabi Isa dengan kitab Injil manakala suatu kumpulan yang lain memuja Nabi Musa dengan kitab Taurat (kerana kedua-duanya berbangsa Yahudi). Mereka juga berbangga dengan kelebihan-kelebihan lain yang mereka ada-adakan.

52. Kumpulan-kumpulan (Yahudi) ini berharap dan berusaha supaya Nabi Ibrahim adalah di pihak mereka. Begitu juga kaum Nasara, mereka juga berusaha supaya Nabi Ibrahim berpihak kepada mereka.

53. Neraca kepada kehebatan sesuatu kumpulan terletak pada adanya nabi dari kalangan mereka.

54. Allah jelaskan bahawa anugerah kelebihan kepada sesuatu kaum adalah hak Allah. Samada Allah ingin lebihkan (atau kurangkan) seseorang adalah hak mutlak Allah.

55. Allah telah beritahu bahawa dari tiga nabi tersebut, Nabi Muhammadlah (bukan nabi Musa dan nabi Isa) yang lebih mirip kepada nabi Ibrahim. Walaupun perjuangan ketiga-tiga mereka adalah sama.

56. Nabi Musa dan Nabi Isa adalah keturunan Nabi Ishaq manakala Nabi Muhammad adalah dari keturunan Nabi Ismail.

57. “Supaya ahli kitab tahu bahawa mereka tidak mempunyai kemampuan walaupun sedikit untuk memberi kenabian kepada seseorang”

58. “Fadhli” bermaksud kurniaan Allah yang berupa turunnya nabi akhir zaman; supaya mereka sedar bahawa mereka tidak mampu memberi kenabian.

59. “Sesungguhnya kurniaan besar itu adalah dalam genggaman Allah. Allah akan beri kurniaannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah taala mempunyai kurniaan yang sangat agung”.

60. Ahli kitab tidak tahu bahawa hak memberi kurniaan ini adalah hak Allah menyebabkan mereka membantah dan berusaha sedaya upaya untuk memaut nabi Ibrahim supaya memihak kepada mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s